Mencari tempat berubat dari gangguan sihir, santau, terkena ilmu  hitam atau gangguan jin ini bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi  untuk mendapatkan bomoh atau pengamal perubatan tradisional yang  betul-betul mujarab dan serasi dengan pesakit itu sendiri.
Ada sesetengah pesakit yang telah menghabiskan ratusan ringgit dan  tidak kurang juga yang telah menjelajah banyak tempat untuk berubat  namun sakitnya tetap tidak juga hilang. Tidak kurang pula ada sesetengah  pesakit ditipu oleh pengamal perubatan yang tidak bertanggungjawab  konon katanya mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi dengan  mengenakan bayaran pengeras / kos rawatan yang terlalu tinggi hingga  ratusan ringgit untuk sesuatu penyakit namun sakit tidak juga sembuh.
Ada juga segelintir pesakit yang mendapat rawatan di beberapa tempat  yang terpaksa mencari pelbagai jenis bahan-bahan rawatan yang pelik  untuk mengubati pesakit tersebut tetapi hasilnya tetap juga hampa.  Pelbagai kaedah rawatan telah dilalui dari mandi 7 kolah masjid, mandi  limau / garam kasar, rawatan secara batin, minum air yang telah dirukyah  oleh Ustaz, berkebas, berurut dan macam-macam kaedah namun jika sakit  itu masih tidak diizinkan oleh Allah SWT untuk sembuh maka ia tetap  tidak sembuh.
Di sini saya ingin berkongsi ilmu atau amalan dengan saudara-saudari  ubat yang paling mujarab dari segala jenis penyakit gangguan ini yang  telah saya amalkan sendiri dan ternyata sangat mujarab.
Ubat yang paling mudah itu sebenarnya terletak pada usaha diri kita  sendiri serta pertolongan terus dari Allah SWT tanpa ada perantara  seperti bomoh, ustaz, Jin Islam, atau apa-apa perantara yang lain. Bukan  menafikan khidmat ustaz atau pengamal perubatan tradisional yang lain  tetapi saya sudah banyak kali berubat hampir 20 perawat atau pengamal  perubatan tradisional yang telah saya ketemui namun sakitnya hanya  hilang sekejap tetapi ianya datang kembali.
Namun berkat dari usaha saya dan dengan pertolongan dari Allah SWT  saya menemui amalan atau ilmu yang sangat mujarab bagi merawat penyakit  yang saya hadapi selama hampir 1 tahun ini.
Berikut amalan yang saya lakukan, sememangnya amalan ini yang biasa  dilakukan apabila setiap kali selesai kita bersolat seharian cuma  bezanya di sini kita tambahkan keyakinan sepenuhnya kita kepada Allah  SWT serta lakukan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh khusyuk dan  istiqomah.
Amalkanlah secara istiqomah dan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang sebenar-benarnya menyembuhkan penyakit kita.
1. Pertama sekali kita perlu yakin bahawa penyakit ini datangnya dari  Allah SWT sebagai ujian dari-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud ;  “Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan;  dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiya’: ayat  35)
2. Kosongkan fikiran anda walaupun anda sememangnya mengetahui bahawa  sakit anda adalah kerana dianiayai atau disihir oleh si folan bin si  folan, kosongkan fikiran anda dan anggap ia satu ujian dari Allah swt  dan manusia itu sebagai penyebabnya sahaja. Buangkan semua syak wasangka  sesama manusia atau sesama mahkluk tentang penyakit yang dihidapi itu.  Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:  “Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan  sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka  sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia  dilahirkan oleh ibunya – bersih dari segala kesalahan”, dan Tuhan  Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: “Aku telah  mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya  apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia  berkeadaan sihat”. (Hadith Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a)  Hadith Sumber JAKIM
3. Ingatlah dan yakinlah bahawa sakit yang kita alami ini adalah  untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta untuk meningkatkan darjat  seseorang mukmin itu. Nabi s.a.w pernah bersabda: “Tidak ada sesuatu  yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan  memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti,  atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku – sehinggakan tikaman  duri yang mencucuknya – melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya,  sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadith Riwayat Abu Sa’id al-Khudri dan  Abu Hurairah r.a) Hadith Sumber JAKIM
3. Peliharalah solat 5 waktu anda dan solat tepat pada waktunya, jika  boleh solat berjamaah di masjid. Jika tidak mengizinkan maka solat lah  tepat pada waktunya. Kerana ketahuilah banyak fadilat solat 5 waktu  tepat pada waktunya yang tidak kita ketahui lagi di antaranya ialah  serangan makhluk halus ini pada seseorang manusia sering berlaku pada  perubahan waktu seperti dari waktu pagi ke tengahari (waktu Zuhor),  perubahan waktu tengahari ke petang (waktu Asar), perubahan waktu dari  petang ke senja (waktu maghrib) dan waktu maghrib paling banyak atau  biasa sekali serangan ke atas manusia. Jadi jika kita sentiasa solat  pada waktunya Insyallah dengan izin Allah kita terselamat dari serangan  ini.
4. Amalkan wirid di bawah selepas tiap kali menunaikan solat fardhu :
- Beristighfar (3 X)
 - Membaca surah al-Fatihah (1X)
 - Membaca surah al-Ikhlas (3x) atau (1x)
 - Membaca surah al-Falaq (1x)
 - Membaca surah an-Nas (1x)
 - Membaca ayatul kursy (dengan 7 wakaf – 7 kali tempat berhenti)
 - Zikir (Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allah hu Akbar 33x)
 - Berdoa
 
5. Amalkan solat hajat (2 rakaat) atau lebih pada tiap-tiap kali  sebelum tidur atau selepas solat Isyak atau Maghrib dan amalkan pada  tiap-tiap hari. Banyak cara mengerjakan solat hajat ini salah satu  caranya ialah rakaat pertama baca al-Fatihah (1x) dan surah al-Kafirun  (3x) manakala rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah (1x) dan surah  al-Ikhlas (3x), semasa sujud terakhir bermohonlah di dalam hati (jangan  lafazkan) semoga disembuhkan penyakit. Amalkan solat hajat ini secara  berterusan sehingga sembuh penyakit. Mohonlah / berdoalah sepenuh  keyakinan anda kepada Allah SWT agar disembuhkan segala penyakit atau  gangguan yang anda hadapi. Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w  membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal  ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda  bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan  yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah!  Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah  Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud  pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat Muslim) Hadith  Sumber JAKIM.
6. Jika mampu amalkan solat sunat witir sekurang-kurangnya (3 rakaat)  sebelum tidur. Dan amalkan Surah al-mathurat setiap kali lepas solat  maghrib atau isyak.
Semoga dengan amalan ini saya doakan agar penyakit anda akan sembuh  dengan pertolongan terus dari Allah SWT. Alhamdulillah saya juga pernah  mengalami sakit sebegini dan saya mengamalkannya memang kesannya sungguh  menakjubkan. Yang pentingnya keyakinan kita bahawa Allah SWT lah tempat  kita bergatung dan hanya Allah SWT sahajalah yang dapat menyembuhkan  segala jenis penyakit yang kita hadapi selama ini.
Wallahua’lam.
Wallahua’lam.
p/s : Waallualam..moga-moga dijauhi dari semua gangguan syaitan... 
Artikel ini dari : pakarhorto 








1 comment:
Assalamualaikum..sy sakit kens gangguan makhluk halus.sdh hampir 10 thn sy sakit dan sdh lbh 80 org sy datangi untuk berobat..ust,bomoh,org asli dan mcm2.hasilnya 0 sama sekali tdk ada perubahan.kalau dilihat scr mata kasar mmg x nampak sakit.cergas dan semangat..hanya Allah dan dr sendiri yg tau mcm mna sakitnya.Insyaallah ilmu yg tuan bagi ini sy akan amalkan.smg dg amalan ini penyakit yg sy dan anak alami bisa sembuh dg izin Allah..sbb sy sdh penat berobat kesana sini xde hasil..t'kasih ye tuan.
Post a Comment